video-perak-sabah-separuh-akhir-semi-final-piala-malaysia-2018-jaringan-5-0

Separuh Akhir Piala Malaysia : Perak belasah Sabah 5-0

IPOH – Perak hanya tinggal selangkah lagi ke pentas final Piala Malaysia selepas berpesta gol ke atas Sabah 5-0 pada saingan peringkat separuh akhir pertama di Stadium Perak di sini sebentar tadi.

Anak-anak buah Mehmed Durakovic sudah memberi amaran awal pada minit ke-11 apabila Gilmar Jose Da Silva melakukan rembatan kencang namun, percubaan itu berjaya ditangkap penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohin.

Skuad The Bos Gaurus berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-16 apabila pemain tengah, Muhammad Firdaus Saiyadi memperdaya dua pertahanan Sabah dan melorongkan bola kepada Nor Hakim Hassan sebelum dia melakukan rembatan kencang ke arah pintu gol lawan.

Perak seakan semakin bernafsu untuk menambah jaringan apabila percubaan demi percubaan dilakukan ke arah gawang Sabah.

Pada minit ke-25, Leandro Dos Santos mempunyai peluang untuk mencatat nama sebagai penjaring gol namun, tendangan kencangnya hanya melewati tiang kanan gol Sabah.

Perak bagaimanapun berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-42 menerusi jaringan Wander Luiz.

Gol terhasil apabila Nor Hakim bertukar hantaran dengan Wander Luiz sebelum pemain import dari Brazil itu melakukan rembatan kencang ke gawang gol Sabah.

Rentak permainan seimbang pada awal babak kedua apabila kedua-dua pasukan melakukan serangan bertali-arus ke gawang lawan masing-masing.

Bagaimanapun, Perak sekali lagi berjaya menjarakkan kedudukan apabila memperoleh gol ketiga pada minit ke-73 menerusi jaringan Gilmar Jose.

Gilmar Jose bijak mengambil peluang selepas menerima hantaran daripada Nor Hakim Hassan apabila berlaku kekecohan di hadapan gol lawan sebelum melakukan rembatan kencang yang menerjah gawang Sabah.

Nor Hakim memperoleh kredit apabila dia sekali lagi melakukan bantuan gol kepada Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-75.

Jaringan terhasil apabila Nor Hakim melakukan hantaran lintang sebelum Muhammad Firdaus menanduk bola terus menuju ke gawang skuad Badak.

Perak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-90 selepas Nazirul Naim dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pertahanan gantian Sabah, Leopold Alfonso Otong.

Leandro berjaya menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menjadikan kedudukan 5-0 sebelum pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin terus meniup wisel penamat perlawanan.

Perak akan berkunjung ke Stadium Likas, Sabah untuk saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 21 Oktober depan dengan membawa bekalan selesa sebelum melangkah ke pusingan akhir piala berprestij itu – K! ONLINE


Perak hampiri pentas final
Belasah Sabah 5-0

IPOH 7 Okt. – Perak meraih bekalan selesa untuk ke final Piala Malaysia apabila mengalah Sabah 5-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Perak, di sini malam ini.

Dalam perlawanan yang menyaksikan penguasaan penuh pasukan tuan rumah, Perak mendahului 2-0 di babak pertama.

Mohd. Nor Hakim Hassan menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-16 apabila merembat deras dari dalam kawasan penalti yang menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohin.

Perak menggandakan kedudukan 2-0 menerusi jaringan cantik Wander Luiz pada minit ke-42 selepas bertukar hantaran dari kawasan tengah dengan Mohd. Nor Hakim.

Selepas rehat, Sabah cuba meningkatkan asakan dengan beberapa percubaan dan sepakan bebas Hector Ramos hampir menggegar gawang Perak pada minit ke-64 namun berjaya ditepis penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim.

Hasrat Sabah untuk bangkit disekat dengan gol ketiga Perak pada minit ke-73 menerusi Gilmar yang bijak memusing badan mengatasi pemain lawan untuk melakukan rembatan yang menewaskan Rozaimie.

Muhammad Firdaus Saiyadi turut mencatat nama sebagai penjaring gol keempat apabila menanduk hantaran lintang Mohd. Nor Hakim pada minit ke-75.

Leandro melengkapkan pesta gol Perak pada minit ke-90 apabila menyempurnakan sepakan penalti setelah Nazirul Naim Che Hashim dijatuhkan pemain lawan untuk gol kelima pasukan tuan rumah.

Perak akan bertandang di Likas untuk aksi separuh akhir kedua pada 21 Oktober ini. – UTUSAN ONLINE


Yob bawa 5 gol ke Likas

IPOH : Perak mendapat bekalan selesa untuk dibawa ke Stadium Likas pada 21 Oktober ini apabila membenam Sabah 5-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, malam tadi.

Dua jaringan pada babak pertama dan tiga lagi pada babak kedua membolehkan anak buah Mehmet Durakovic merakam kemenangan besar di hadapan lebih 20,000 penonton.

Jurulatih Sabah, Jelius Ating pasti merenung jauh berikutan keputusan itu kerana sedar beliau mempunyai tugas berat apabila turun membuat perhitungan kedua nanti.

Pada aksi di Stadium Perak, tuan rumah garang melakukan asakan awal ke arah pintu gol Sabah dan berpeluang menjaringkan gol melalui Gilmar Da Silva dan Wander Luiz tetapi tidak berhasil.

Begitupun, kesungguhan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Mohd Nor Hakim Hassan membuka tirai jaringan berpunca hantaran Firdaus Saiyadi pada minit ke-16.

Perak menggandakan asakan dan Wander Luiz melebarkan kedudukan apabila memanfaatkan bola hantaran ke belakang Gilmar pada minit ke-42.

Sabah cuba bangkit pada babak kedua dan Hector Ramos hampir menjaringkan gol tetapi sepakan percumanya pada

minit ke-64 ditepis keluar oleh penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Tetapi selepas cubaan itu, anak buah Durakovic memulakan malam penuh perit buat pelawat apabila Gilmar turut meletakkan namanya selaku penjaring pada minit ke-73 diikuti gol Firdaus Saiyadi (75) sebelum Leandro Dos Santos melengkapkan jumlah jaringan untuk meletak Perak sebelah kaki ke perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 11:45 PM ~ Harian Metro


Lima gol iringi Yeop ke Likas

PERAK hanya selangkah final Piala Malaysia apabila menewaskan Sabah, 5 – 0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak, malam tadi.

Perak membuka jaringan menerusi Mohd Norhakim Hassan pada minit ke-15.

Gol berkenaan semakin menyemarakkan semangat kesebelasan Perak untuk mengasak hebat ke gawang pelawat bagi menambah jaringan.

Asakan berkenaan akhirnya berhasil apabila pemain import, Wander Luiz bijak memanfaatkan peluang di depan gawang Sabah bagi meledak gol kedua Perak pada minit ke-42.

Perak terus mengasak ke kubu pelawat, namun tiada jaringan tambahan hingga tamat babak pertama.

Perak terus mendominasi babak kedua dengan tiga lagi jaringan menerusi Gilmar da Silva pada minit ke-73, Firdaus Saiyadi (min-76) dan Leandro Dos Santos melengkapkan malam gemilang Perak apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.

Kemenangan besar Perak itu tambah manis apabila Mohd Norhakim Hassan diumumkan pemain terbaik perlawanan.

PERAK – Muhammad Hafizul Hakim, Shahrul Saad (kapten), Leandro Dos Santos, Gilmar da Silva, Wander Luiz, Brendan Gan, Firdaus Saiyadi, Idris Ahmad, Norhakim Hassan, Nazirul Naim, Amirul Azhan

SABAH – Rozaimie Rohin, Rowilson Batuil (kapten), Dendy Lowa, Francais Kasonde, Rodoijub Paunovic, Azizan Nordin, Hector Omar, Maxius Musa, Alto Linus, Sabri Sahar, Hamran Peter

sumber ~ Sinar Harian

Pengadil – Mohammad Zamzaidi Katimin

Facebook Comments

Similar Posts