Video-Gol-jaringan-Perak-Menentang-PKNSI-Stadium-Shah-Alam-Suku-Akhir-Piala-Malaysia

Piala Malaysia – Yeop ke separuh akhir penuh bergaya

PERAK melengkapkan kuota ke saingan separuh akhir Unifi Piala Malaysia 2018, apabila menewaskan PKNS 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dua gol penyerang import Brazil, Wandar Luiz pada setiap babak sudah cukup memadai untuk mengesahkan kemaraan skuad The Bos Gaurus itu dalam kelompok empat pasukan terbaik, Liga Malaysia (Liga-M), musim 2018.

Sekali gus, menafikan ‘badi’ kekalahan skuad Kejor Yob Kejor itu kepada skuad Semut Merah itu, sejak beberapa musim lalu.

Perlawanan semalam menyaksikan Perak bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak ke gawang lawan dalam usaha memburu jaringan awal.

Usaha berkenaan akhirnya berhasil apabila rembatan penyerang import, Wander Luiz pada minit ke-23 gagal ditangkap kemas penjaga gol PKNS FC, untuk gol sulung pelawat.

Gol berkenaan dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan Perak untuk mengasak ke gawang lawan dalam usaha menambah jaringan.

Bagaimanapun, benteng pertahanan PKNS FC dilihat kental bertahan bagi menggagalkan asakan-asakan skuad The Bos Gaurus itu hingga tamat babak pertama.

Perak semakin menggadakan asakan pada babak kedua dan Wandar Luiz sekali lagi berjaya menjaringkan gol kedua apabila menanduk masuk hantaran cantik rakan sepasukan pada minit ke-57.

Malang berganda buat PKNS FC, apabila pemainnya Muhammad Jafri Firdaus Chew dilayangkan kad merah setelah mengasari pemain Perak, Leandro Dos Santos pada minit ke-78.

Kesempatan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan kesebelasan Perak apabila gagal menambah jaringan sehingga ke wisel penamat.

 

 

KESEBELASAN PEMAIN:

PKNS FC – Mohd Zarif Irfan, Rodney Kelvin, Nik Mohd Shahrul Azim, K.Gurusamy (kapten), Zachary Anderson, Muhammad Jafri Firdaus Chew, Mohammad Qayyum, Muhammad Nurridzuan, Bruno Oliviera, Romel Oswaldo, Rafael Ramazotti

PERAK – Muhammad Hafizul Hakim, Shahrul Mohd Saad, Leandro Dos Santos, Gilmar da Silva, Wander Luiz, Brendan Gan, Muhammad Firdaus Saiyadi, Idris Ahmad, Nor Hakim Hassan, Nazirul Naim, Amirul Azhan

Sumber :Sinar Harian

Facebook Comments

Similar Posts