jadual-perlawanan-keputusan-selangor-jdt-perak-pahang-kedah-sabah

KUALA LUMPUR: Selangor berjaya mendapatkan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras sebagai venue mereka musim ini.

Bagaimanapun mereka mendapat amaran daripada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang DBKL perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan di padang terbabit akibat penggunaan terlalu kerap.

Ketika ini, Selangor akan menyertai pasukan Liga Super, Kuala Lumpur dan kelab Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menggunakan stadium itu selaku venue tuan rumah.

DBKL membenarkan stadium itu digunakan Selangor menerusi surat bertarikh hari ini dan ditandatangani Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Khairul Anuar Mhd Juri.

Selangor, yang akan menentang KL di Cheras Ahad ini dalam perlawanan pembukaan Liga Super, kini boleh mengadakan perlawanan pada malam hari selepas hanya boleh beraksi pada sebelah petang di Stadium Selayang.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Ibrahim mengesahkan pasukan itu sudah mendapat kebenaran DBKL.

“FAS mengesahkan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras akan menjadi venue kami untuk saingan Liga Malaysia musim ini selepas mendapat kebenaran DBKL,” kata Rosman dalam satu kenyataan.

Selangor sebelum ini mahukan Stadium Nasional di Bukit Jalil sebagai venue mereka namun diberitahu Perbadanan Stadium Malaysia bahawa mereka tidak dijamin stadium itu boleh digunakan sepanjang musim.

FAS kemudian memilih Stadium Selayang sebagai pilihan tetapi Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) tidak memberi kebenaran bagi mengadakan perlawanan pada waktu malam kerana lampu di stadium itu kurang terang.

“Kami harap FMLLP akan membenarkan Selangor menggunakan Stadium KL musim ini selepas kami memenuhi kehendak ditetapkan,” kata Rosman. “FAS juga berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana memberikan kebenaran.”

Bagaimanapun, dengan Stadium KL hanya dibuka selepas empat tahun kerana kerja pembaikan dan naik taraf, Setiausaha KLFA, Nokman Mustaffa bimbang sekiranya rumput di situ tidak mampu bertahan.

“Padang itu baru siap dan kami tidak mahu banyak perlawanan dilangsungkan kerana ia boleh rosak,” kata Nokman.

“Jika ia berlaku, semua tiga pasukan perlu mencari tempat baharu untuk bermain dan itu akan menyebabkan gangguan dalam jadual liga.”

“Kami sudah memberitahu DBKL bahawa mereka akan bertanggungjawab untuk sebarang kerja pembaikan jika kerosakan berlaku di atas padang itu.”

Sumber : Bharian

Facebook Comments

Similar Posts