terengganu-jdt-liga-super-menang-kalah-stadium-kuala-terengganu

KUALA TERENGGANU – Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali merampas takhta Liga Super selepas menumpaskan Terengganu Football Club 1 (TFC1) 1-0 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan juara bertahan tersebut memungut 12 mata sekali gus memintas PKNS FC untuk kedudukan teratas liga.

Kekalahan yang turut meleburkan rekod tanpa kalah TFC1 pada musim ini tersebut telah menyebabkan pendatang baharu Liga Super berkenaan turun ke tangga keempat.

Pemain pertahanan import JDT, Marcos Antonio Santos muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-29.

Jaringan itu terhasil daripada situasi kelam-kabut di pintu gawang Terengganu berikutan sepakan percuma yang diambil seorang lagi pemain import JDT, Nicolas Alberto Fernandez.

Tuan rumah berpeluang untuk menyamakan kedudukan namun percubaan kapten pasukan, Tchetche Kipre berjaya ditepis keluar penjaga gol lawan, Mohd. Farizal Marlias pada hujung separuh masa pertama.

Pemain sayap TFC1, Mohd. Shahrul Aizad Zukufli juga gagal memanfaatkan peluang terhidang apabila sepakannya tersasar biarpun pintu gol JDT terbuka pada minit ke-49. – K! ONLINE

Facebook Comments

Similar Posts