keputusan-perlawanan-liga-super-malaysia-melaka-kelantan

KELANTAN membuka tirai Liga Super musim ini dengan langkah sumbang apabila tewas 1-2 kepada Melaka United pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat.

Meskipun The Red Warriors mendahului lebih awal namun gol sumbangan dua pemain import Melaka, Jae Woo Young dan Yahor Zubovich memusnahkan impian skuad kendalian Sathit Bensoh untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata, pada pertemuan tersebut.

Kelantan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk berada di depan apabila penyerang import, Bruno Lopes menampan masuk gol pertama berpunca sepakan bebas Do Dong-Hyun, ketika permainan baharu memasuki minit kedua.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila pemain import Melaka United, Yahor Zubovich meledak gol penyamaan menerusi percubaan jarak dekat setelah mendada kemas bola lambungan kapten, R Surendran, pada minit ke-11.

Skuad kendalian Eduardo Almeida memperoleh sepakan penalti pada minit ke-31 selepas Amiridzwan Taj Tajudin melakukan kesilapan menjatuhkan S Chanturu di dalam kotak penalti dan pemain import Korea Selatan, Jae Woo Young mudah merembat masuk menjadikan kedudukan 2-1 sehingga babak pertama berakhir.

Separuh masa kedua menyaksikan penguasaan seimbang kedua-dua pasukan tetapi Kelantan lebih ghairah melancarkan serangan bertali arus terutama dalam tempoh 20 minit terakhir untuk mencari gol penyamaan.

Skuad pantai timur itu memperoleh tiga peluang terhidang menerusi Do Dong-Hyun tetapi percubaannya diselamatkan penjaga gol Melaka United, Muhammad Zamir Selamat pada minit ke-71.

Pemain import Indonesia, Ferdinand hampir menyamakan kedudukan namun rembatannya sedikit melewati palang pada minit ke-73 disusuli tandukannya ditepis keluar Muhammad Zamir, tiga minit kemudian.

Anak Buah Sathit terus mendominasi baki 10 minit terakhir namun kekentalan benteng pertahanan Melaka United menyaksikan keputusan 2-1 kekal memihak skuad kendalian Eduardo Almeida sekali gus mengecewakan Kelantan, pada pertemuan sebentar tadi.

Sumber : Sinar Harian

Facebook Comments

Similar Posts