perak-pahang-separuh-akhir-piala-FA-2019-semi-finals-bos-gaurus-bosgaurus-bolasepak-bola-liga-super

Piala FA: Perak bangkit singkir Pahang

IPOH: Perak berjaya memadam kelebihan gol dimiliki Pahang apabila menundukkan skuad Tok Gajah 3-0 pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad The Bos Gaurus melayakkan diri ke perlawanan akhir dengan agregat 4-3 walaupun tewas 1-3 di Stadium Darul Makmur, Pahang, pada separuh akhir pertama, 22 Jun lalu.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, anak didik Mehmet Durakovic mula mengasak ke kubu pelawat sebaik perlawanan bermula namun beberapa serangan dilancarkan gagal membuahkan hasil.

Detik kebangkitan Perak bermula menerusi jaringan pertama dilakukan pemain tengah, Brendan Gan menerusi tandukan pada minit ke-35 menewaskan Helmi Eliza Elias hasil sepakan sudut Mohd Firdaus Saiyadi.

Perak terus garang dengan mengasak ke kubu lawan dan hasilnya K Partiban berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-41 menerusi rembatan selepas menerima lorongan Raianderson Da Costa Morais (Careca) sekali gus merapatkan agregat 3-3.

Belum sempat anak didik Dollah Salleh memperkemaskan permainan, The Bos Gaurus berjaya memperoleh gol ketiga tiga minit selepas itu hasil gol sendiri pertahanan Tok Gajah, Fauzi Rosli yang tertolak bola ke gawang sendiri.

Babak pertama berakhir dengan kedudukan 3-0.

Bermula babak kedua, Pahang mula memperkemaskan permainan dengan mengasak ke gawang tuan rumah melalui Dickson Nwakame, Lazarus Kaimbi dan Mohamadou Sumareh.

Namun asakan bertali arus gagal menembusi pertahanan diketuai ketua pasukan, Shahrul Saad dan gawang dikawal Hafizul Hakim.

Bagaimanapun, Perak hampir menambah derita Pahang pada minit ke-83 menerusi Careca namun gol jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus mengesahkan tiket Perak ke perlawanan akhir dengan kemenangan agregat 4-3.

Perak bakal menunggu pemenang antara FELDA United FC atau Kedah yang akan bertarung di Jengka, esok.

Sumber : Berita Harian


Perak sahkan tiket ke perlawanan akhir Piala FA 2019

IPOH: Perak mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala FA 2019 apabila mencatatkan kemenangan agregat 4-3 ke atas Pahang di Stadium Perak, di sini, malam ini.

Skuad kendalian Mehmed Durakovic itu menumbangkan Pahang 3-0, selepas tunduk 1-3 pada aksi separuh akhir pertama, di Stadium Darul Makmur pada 22 Jun lalu.

Beraksi di hadapan lebih 20,000 penonton, The Bos Gaurus terlebih dahulu mencemaskan kubu lawan, namun percubaan Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-24 didakap kemas penjaga gawang, Mohd Helmi Eliza Elias.

Perak terus melancarkan serangan ke kubu Tok Gajah dan akhirnya pada minit ke-34, Brendan Gan berjaya mencetak nama selaku penjaring apabila menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Muhammad Firdaus.

Pasukan tuan rumah terus menggandakan jaringan pada minit ke-42 apabila J. Parthiban berjaya menewaskan Mohd Helmi Eliza melalui satu sepakan lencong ke sebelah kanan gawang gol Pahang.

Berselang seminit, Pahang terus dirundung malang apabila pemain pertahanan, Mohd Faisal Mohd Rosli tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang oleh Mohd Nor Hakim Hassan sekaligus menjadikan kedudukan 3-0.

Bersambung babak kedua, Pahang cuba merapatkan kedudukan pada minit ke-77, namun sepakan percuma daripada jarak 25 meter yang dilakukan pemain kebangsaan Singapura, Muhammad Safuwan Baharuddin melambung tinggi .

Tersentak dengan percubaan itu, Perak nyaris menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-85, namun tolakan daripada Parthiban hasil hantaran lintang Mohd Nor Hakim berjaya ditepis keluar oleh Mohd Helmi Eliza di atas garisan gol Pahang.

Kedua-dua pasukan terus melancarkan serangan ke kubu lawan masing-masing namun kedudukan Perak 3, Pahang 0 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

— BERNAMA & ASTRO AWANI


Perak ke final Piala FA 2019

IPOH – Ibarat skrip ulangan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019 lalu, Perak mara ke pentas final Shopee Piala FA 2019 apabila menewaskan Pahang pada aksi separuh akhir kedua Shopee Piala FA 2019 di Stadium Perak, malam tadi.

Kejayaan berkenaan sekali gus menyaksikan skuad The Bos Gaurus itu mara dengan agregat 4-3, walaupun tewas 1-3 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan 22 Jun lalu.

Perlawanan malam tadi menyaksikan Perak bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak gawang Pahang bagi memburu jaringan awal.

Bagaimanapun, beberapa percubaan skuad The Bos Gaurus itu gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan Tok Gajah.

Namun Stadium Perak bergema dengan sorakan penyokong skuad Kejor Yeop Skor apabila Brendan Gan menanduk masuk gol pembukaan hasil sepakan sudut Firdaus Saiyadi pada minit ke-35.

Gol berkenaan dilihat mula menyemarakkan semangat kesebelasan Perak yang melancarkan serangan bertubi-tubi ke gawang pelawat bagi menambah jaringan.

Usaha berkenaan berhasil apabila pemain sayap lincah, J.Partiban berjaya melepasi kawalan pertahanan Pahang sebelum menewaskan penjaga gol Pahang Heliza Helmi untuk gol kedua Perak pada minit ke-42.

Stadium Perak bergema lagi pada minit ke-43 apabila pertahanan Pahang Faisal Rosli tertampan bola ke gawang sendiri untuk gol ketiga Perak.

Bersambung babak kedua, Perak semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan hingga berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Pahang.

Waktu 10 minit terakhir menyaksikan Pahang mula mengasak ke gawang Perak dalam usaha merapatkan jurang gol.

Bagaimanapun, asakan-asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan Perak hingga ke wisel penamat.

Artikel Penuh : Sinar Harian

Facebook Comments

Similar Posts