luqman-hakim-pemain-malaysia-belqium-kv_kortrijk-adidas

Pemain kebangsaan Malaysia, Luqman Hakim yang kini di dalam penjelajahan benua Eropah bersama- sama dengan kelab  di Belgium iaitu KV Kortrijk semakin mendapat perhatian rakyat Malaysia. Beliau telah menunjukkan prestasi cemerlang bersama kelab barunya itu. Pihak media sentiasa memberikan perhatian kepadannya. Berikut adalah beberapa berita yang dipaparkan oleh akhbar – akhbar utama.

Nilai Luqman naik dua kali ganda

KUALA LUMPUR: Prestasi memberangsangkan Luqman Hakim Shamsudin bersama KV Kortrijk menyaksikan nilai pasarannya naik dua kali ganda.

Ia selepas laman Transfermarkt meletakkan nilai €150,000 (RM740,000) sebagai tanda harga baharu buat Luqman berbanding sebelum ini €50,000 (RM246,500).

Ketua Pegawai Operasi Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar menjelaskan secara asasnya beberapa perkara terutama prestasi semasa menjadi antara faktor penentu terhadap nilai pasaran seseorang pemain.

Beliau berkata, walaupun kemampuannya masih belum terbukti sepenuhnya bersama skuad utama KV Kortrijk, kejayaan penyerang berusia 18 tahun itu yang lebih mesra disapa Luqie oleh rakan sepasukan memberikan impak kepada pasukan bawah 21 tahun (B-21) kelab dan aksi persahabatan juga diambil kira dalam penilaian dibuat Transfermarkt.

“Biasanya Transfermarkt mengemaskini nilai pasaran terbaru pemain setiap jendela perpindahan. Saya tak pasti bagaimana pengiraan nilai pasaran pemain itu dibuat, tapi prestasi pemain diambil kira dalam penilaian itu.

“Mungkin sebab dia (Luqman) menjaringkan gol semasa aksi persahabatan dan ketika bersama skuad B-21. Kita pun memang sudah jangka nilai dia akan naik selepas dia ikat kontrak dengan Kortrijk.

“Sebenarnya graf dia bagus, semalam kita jangka dia tak dapat main, tapi sebaliknya dia beraksi dan selepas itu hantaran dia memberikan penalti (kepada Kortrijk). Itu pun antara ‘point’ yang dia dapat, kerana nilai pemain ini macam pasaran saham,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Penyerang muda berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu mencipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama membuat penampilan dalam liga utama Belgium, Jupiler Pro League selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-74 ketika berdepan RSC Anderlecht.

Sebelum ini, Luqman sudah mempamerkan aksi yang memberangsangkan bersama skuad B-21 termasuk meledak gol kemenangan KV Kortrijk ketika menentang KFCO Beerschot Wilrijk dalam aksi Kumpulan 2 Liga Belgium B-21, minggu lalu.

Selain itu, Faidauz juga tidak menolak kemungkinan populariti yang Luqman bawa kepada kelab itu turut menjadi antara penyumbang kepada nilai pasarannya.

“Kalau kita lihat pengikut di media sosialnya dan kelab juga meningkat dan jika berjaya memberikan aksi lebih baik selepas ini, nilai pasarannya juga akan terus meningkat,” katanya.

Sumber : Berita Harian


Feichtenbeiner terkejut Luqman Hakim dapat peluang sebegitu awal

Ketua jurulatih sementara Selangor, Michael Feichtenbeiner, tidak menjangkakan bekas anak buahnya, Luqman Hakim Shamsudin, sebegitu awal dapat beraksi dengan skuad utama pasukan Liga Pro Belgium, KV Kortrijk.

Luqman Hakim mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama diturunkan beraksi dalam saingan divisyen utama liga di Eropah selepas dimasukkan pada minit ke-74 perlawanan menentang Anderlecht awal pagi tadi.

Biarpun pasukannya tewas 1-3, penyerang muda negara itu, yang hanya beraksi selama 16 minit, menjadi pencetus Kortrijk memperoleh sepakan penalti yang disempurnakan Ilombe Mboyo pada minit ke-86.

Bagi Feichtenbeiner, yang pernah mebimbing Luqman Hakim di pasukan Selangor II sebelum ini, penampilan itu merupakan pencapaian yang cukup baik untuk pemain kelahiran Kelantan itu mencipta nama di Belgium.

“Saya amat gembira untuknya. Saya amat terkejut apabila dia mendapat peluang ini dengan sebegitu awal,” kata pengendali berbangsa Jerman itu kepada Astro Arena.

“Sudah pasti dia melakukan dengan baik dalam sesi latihan dan dalam beberapa perlawanan bersama skuad B-21 — dia menjaringkan beberapa gol dalam perlawanan itu.

“Dia mendapat peluang beraksi dalam 16 minit terakhir bersama skuad senior, jadi ia merupakan satu langkah besar buatnya dalam bola sepak antarabangsa dan ia amat bagus buatnya.

“Tetapi ia juga membuktikan kepada pemain muda kita bahawa masih ada peluang sekiranya anda pergi (ke luar negara) dan mencuba yang terbaik.

“Ia merupakan petanda yang amat baik buat bola sepak di Malaysia,” katanya.

Sumber : Astro Awani


luqman-hakim-pemain-malaysia-belqium-kv_kortrijk-adidas-kebangsaan-player

Detik cukup berharga

PENAMPILAN sulung penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin bersama kelabnya, KV Kortrijk ketika menentang Anderlecht pada saingan Liga Profesional Jupiler awal pagi semalam ternyata menggamit perhatian.

Biarpun sekadar beraksi selama 16 minit di tengah padang, kelibat Luqman Hakim sudah cukup membangkitkan keterujaan para penyokong dan peminat bola sepak tempatan.

Sebelum ini, mereka ternanti-nantikan aksi sulung Luqman Hakim bersama kelab liga utama Belgium itu selepas dia beberapa kali diberi kepercayaan membarisi skuad Bawah 23 tahun (B-23) KV Kortrijk.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, penampilan sulung Luqman Hakim bersama skuad utama KV Kortrijk itu adalah satu permulaan baginya untuk membuktikan keupayaan sebenar.

“Ia adalah proses biasa yang pernah dilalui oleh pemain-pemain ternama dunia sebelum ini. Proses ini bertujuan untuk mematangkan lagi pemain-pemain sebelum mereka diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi kelak.

“Bagi saya apa yang dilakukan barisan kejurulatihan KV Kortrijk adalah tindakan yang tepat dan betul kerana aa adalah proses untuk ‘membangunkan’ pemain, tambahan pula Luqman Hakim bukannya pemain ternama dunia dan dia harus diuji terlebih dulu.

“Namun, setakat ini Luqman Hakim telah menunjukkan tanda aras yang baik menerusi kesungguhan pada sesi latihan, perlawanan persahabatan dan itu sudah cukup bagus buat pemain muda sepertinya.

“Dia tidak naik mendadak dan melalui peringkat demi peringkat. Kini dia mula diberikan kepercayaan untuk beraksi dengan pasukan utama KV Kortrijk dan saya anggap itu satu permulaaan yang positif,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Pada masa sama, Azlan berharap Luqman Hakim dapat terus mengekalkan disiplin serta prestasinya untuk terus memikat hati barisan kejurulatihan KV Kortrijk terutama pengendalinya, Yves Vanderhaeghe.

“Luqman Hakim perlu terus berusaha agar dia diberikan peluang lagi untuk beraksi bersama skuad utama KV Kortrijk. Dia dah tunjuk kebolehan dirinya apabila menjadi ‘punca’ KV Kortrijk memperoleh gol tunggal.

“Saya percaya jika Luqman Hakim terus mendapat kepercayaan beraksi dalam skuad utama KV Kortrijk, dia mampu menyerlahkan lagi potensi yang ada dalam dirinya,” ujarnya.

Pada aksi di Stadium Guldensporen, Kortrijk awal pagi semalam, Luqman Hakim dimasukkan sebagai pemain gantian yang menyaksikan KV Kortrijk tewas 1-3 kepada Anderlecht yang dibimbing bekas kapten Manchester City, Vincent Kompany.

Walaupun beraksi dalam baki tempoh 16 minit, bekas pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) itu berjaya memberi impak dengan gerakan serta lariannya sehingga membolehkan KV Kortrijk dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan.

Sumber: Sinar Harian


Luqman lakar sejarah, beri impak besar

Kuala Lumpur: Penantian peminat bola sepak tanah air untuk melihat pemain muda negara Luqman Hakim Shamsuddin beraksi bersama skuad utama KV Kortrijk akhirnya tercapai apabila dia diturunkan menentang Anderlecht awal pagi tadi.

Pemain yang berasal dari Kota Bharu Kelantan itu diturunkan pada minit ke-74 menggantikan Petar Golubović untuk beraksi di posisi sayap kiri.

Jelas sekali, walaupun hanya bermain 15 minit pada perlawanan terbabit, Luqman yang memakai jersi nombor sembilan turut berperanan membantu pasukan mengatur serangan ke kubu lawan meskipun dia dilihat pemain paling kecil di atas padang.

Pada perlawanan terbabit, KV Kortrijk yang menghuni tangga kesembilan liga, terpaksa akur tewas 1-3 kepada Anderlecht.

Perlawanan yang berlangsung Stadium Guldensporen menyaksikan pasukan pelawat mendahului 3-0 menerusi penyerang mereka Lukas Nmecha pada minit ke-6 dan 65 manakala Percy Tau pula minit ke 35.

Skuad kendalian Yves Vanderhaeghe berjaya memperoleh gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Ilombe Mboyo tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Melihat kepada gaya permainan Luqman pada penampilan sulung itu, ia memberi bayangan kemungkinan khidmatnya akan diperlukan lagi pada perlawanan seterusnya menentang Zulte Waregem, Selasa depan.

~ Sumber : Harian Metro

Facebook Comments

Similar Posts